JOHOR BAHRU — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Kluang, menahan seorang bekas Datuk Bandar di Johor, hari ini kerana disyaki menerima rasuah lebih RM1 juta.
Menurut sumber SPRM, suspek lelaki berusia 63 tahun itu adalah bekas Datuk Bandar di sebuah pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
“Suspek ditahan di pejabat SPRM di sini, kira-kira jam 4 petang tadi.
“Difahamkan, tangkapan dibuat berkaitan suspek semasa menjawat jawatan Datuk Bandar sekitar tahun 2020 hingga 2021.
“Beliau didakwa telah menerima wang rasuah lebih RM1 juta daripada kontraktor-kontraktor sebagai balasan kerana telah meluluskan projek,” katanya.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan berkata kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009.
“Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Jenayah 1 (Khas Rasuah) Johor Bahru di sini pada jam 8.30 pagi esok dengan 12 pertuduhan,” katanya.
BH ONLINE