Seorang lagi mangsa bot nelayan karam ditemui

BATU PAHAT — Satu lagi mangsa tragedi bot nelayan pukat tunda yang karam berdekatan Tanjung Segenting, di sini ditemui lemas pagi tadi menjadikan dua setakat tengah hari ini dijumpai.

Mayat mangsa ditemui nelayan tempatan yang kebetulan melalui lokasi terbabit dekat pantai Koris, Senggarang, jam 11.30 pagi namun identitinya belum diketahui.

Nelayan terbabit kemudian menghubungi pihak berkuasa sebelum membawa mayat ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk tindakan lagi.

Petang semalam, mayat tekong, Chiah Kah Chong, 53, ditemui ketika operasi mencari dan menyelamat memasuki hari kedua.

Selain Kah Chong, turut hilang dalam kejadian awal pagi Jumaat lalu ialah Lee Poh Ling, 68; Tan Hai Lian, 62, dan Daud Darus @ Hamid, 53.

Hanya Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian.

Kelmarin, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia menerima aduan daripada orang awam memaklumkan terdapat bot nelayan tempatan tenggelam di lokasi kira-kira 6.8 batu nautika barat daya Tanjung Segenting.

Menurut maklumat awal, bot nelayan itu dinaiki lima kru berusia antara 43 hingga 62 tahun, semua rakyat tempatan yang keluar ke laut untuk menangkap ikan.

Mereka dilaporkan ke laut pada jam 8 malam Khamis melalui jeti nelayan di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit.

Keadaan cuaca yang buruk dan ombak besar dipercayai menyebabkan bot terbalik seterusnya tenggelam.

BH ONLINE