‘Selamat hari raya semua’ ucap Ismail Sabri selepas beri keterangan 5 jam

PUTRAJAYA – “Selamat hari raya semua,” demikian reaksi ringkas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebaik meninggalkan pekarangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Bera itu meninggalkan bangunan SPRM kira-kira jam 3 petang tadi selepas selesai memberi keterangan selama lima jam berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengannya.

Difahamkan, beliau kemungkinan akan dipanggil lagi untuk direkodkan keterangan, namun tarikh dan masa masih belum ditetapkan.

Terdahulu, Ismail Sabri hadir di Ibu Pejabat SPRM buat kali ketujuh untuk diambil keterangan berhubung kes berkenaan.

Beliau tiba kira-kira jam 10 pagi tadi.

Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

BH ONLINE