BATU PAHAT — Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) dua lagi nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki karam Jumaat lalu, ditamatkan hari ini meskipun satu lagi mayat ditemui, petang tadi.
Mayat Lee Pong Ling, 68, ditemui di perairan Muar, kira-kira 25 batu nautika dari lokasi bot mangsa dilaporkan karam di Tanjung Segenting, di sini.
Jasad warga emas itu ditemui sebuah feri yang dalam perjalanan dari Bengkalis, Indonesia ke Muar, jam 2 petang tadi sebelum dibawa ke jeti Jabatan Laut Muar.
Ia kemudian diserahkan kepada polis dengan mayat dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar untuk tindakan lanjut.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam kenyataan berkata, operasi memasuki hari kelima ditamatkan petang ini memandangkan tiada petunjuk baharu bagi pencarian seorang lagi mangsa, Raud Darus@Hamid, 53.
“Bagaimanapun, pencarian mangsa akan diteruskan oleh aset Maritim Malaysia yang menjalankan rondaan rutin,” katanya.
Sementara itu, Op Carilamat penumpang feri, Juli Afriko, 30 yang terjatuh laut ketika dalam perjalanan dari Muar menuju ke Bengkalis, disambung hari ini.
BH ONLINE