Sahur terakhir sebelum maut tertimbus tanah runtuh

KOTA KINABALU – Seorang ibu yang baru selesai bersahur, maut selepas tertimbus bersama rumahnya dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lok Bonu, Sepanggar, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi, Sitti Harija Norulla, 53, dilaporkan meninggal dunia selepas tertimbus dalam tanah runtuh yang meranapkan rumahnya.

Seorang anak mangsa dikenali sebagai Al, 39, berkata, ketika kejadian, dia bekerja di sebuah kilang tidak jauh dari rumah keluarganya.

Ketika itu, katanya, arwah ibu dan adiknya iaitu Zulkiman, 25, dikatakan baru selesai bersahur bersama sebelum terdengar bunyi kuat.

“Menurut adik, dia cuba keluar untuk memeriksa keadaan, tiba-tiba berlaku gegaran. Adik beritahu masa itu dia cuba menarik tangan ibu untuk keluar, namun gegaran sangat kuat dan terus tercampak.

“Rumah kami pun sudah bergerak beberapa meter dari lokasi asal.

“Saya kemudian dihubungi bergegas pulang dan cuba mencari bersama penduduk kampung sebelum menemukan ibu dalam timbunan tanah runtuh,” katanya ketika ditemui, di lokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, beliau dan penduduk kampung cuba mengeluarkan ibunya, namun terlalu sukar dan terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada 4.32 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota dan pegawai bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati tanah runtuh menimbus sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 14 meter persegi yang musnah sepenuhnya.

“Terdapat dua mangsa terbabit dan seorang daripadanya wanita berusia 53 tahun tertimbus dan berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala seorang lagi mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Menurutnya, kerja-kerja pemantauan di lokasi masih giat dijalankan dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

BH ONLINE

ad