Sah, mayat reput adalah Xin Yuan

KUALA LUMPUR — Mayat reput yang ditemui dalam sungai dekat Banting, Selangor pada 28 Disember lalu, disahkan remaja perempuan, Yap Xin Yuan yang dilaporkan hilang selepas menjalani latihan tarian singa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, ketika mengesahkan identiti mangsa, berkata pengesahan diperoleh selepas padanan terhadap keputusan analisa Asid Deoksiribonukleik (DNA) di antara mayat remaja itu dengan ibunya.

“Saya sahkan itu adalah Xin Yuan, DNA miliknya yang dianalisis oleh Jabatan Kimia menunjukkan padan dengan ibunya.

“Siasatan masih diteruskan dan motif pembunuhan masih disiasat,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Hussein berkata, reman terhadap ketiga-tiga suspek yang ditahan berhubung kes ini termasuk teman lelaki suspek yang akan berakhir Ahad ini dijangka akan disambung sekiranya siasatan terhadap mereka masih perlu dilanjutkan.

Sabtu lalu mayat mangsa yang sudah reput ditemui di Rancangan Tanah Baharu (RTB) Sungai Changgang, Banting, Selangor.

Mangsa dilaporkan hilang pada 19 Disember lalu apabila tidak pulang ke rumahnya selepas tamat latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11, Cheras.

Kali terakhir dia dilihat di gelanggang bola keranjang di Batu 11, dengan berpakaian baju tarian singa berwarna merah.

Susulan kejadian itu, tiga suspek termasuk teman lelaki remaja perempuan terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang juga telah mengklasifikasikan siasatan kes daripada orang hilang kepada siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

BH ONLINE