Rogol remaja bawah umur, buruh dipenjara 24 tahun

KOTA BHARU — Seorang buruh dipenjara 24 tahun dan empat sebatan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah merogol seorang remaja perempuan bawah umur, pada November tahun lalu dan April lalu.

Tertuduh, Mohd Rashid Sidiq, 30-an, warga Myanmar membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Tertuduh didakwa merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada November tahun lalu ketika mangsa berumur 16 tahun dua bulan dan sekali lagi melakukan perbuatan sama pada April lalu.

Perbuatan itu dilakukan di dalam bilik tidur di sebuah rumah tanpa nombor di Jalan Gunong, dekat Bachok, jam 8 malam pada November 2023 dan jam 8 malam April lalu.

Pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, ketika berada di rumah di Gunong, Bachok, mangsa mengadu sakit perut kepada ibunya jam 11.30 malam, pada 1 September lalu sebelum dibawa ke sebuah klinik di Peringat untuk dapatkan rawatan.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengandung lebih kurang 21 minggu dan memaklumkan bahawa dia dirogol oleh tertuduh.

Mangsa dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab Il (HRPZ II) untuk rawatan lanjut dan pihak polis mengambil laporan. Mangsa dirogol pada November 2023 dan April 2024.

Tertuduh ditahan pada 2 September lalu dan hasil siasatan mendapati tertuduh mengaku merogol mangsa secara paksa di dalam bilik tidurnya di Jalan Gunong.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dan kes diterjemahkan oleh Jurubahasa, Than Tin.

Terdahulu, Ahmad Faiz Fitri memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana kes itu serius dan menyebabkan mangsa mengandung.

Tertuduh menerusi jurubahasanya berkata, mereka sudah kenal dan kes itu adalah suka sama suka.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan masing-masing untuk pertuduhan pertama serta pertuduhan kedua. Hukuman penjara itu diarahkan berjalan berasingan yang bermula dari tarikh jatuh hukum, hari ini.

BH ONLINE

Just Pic