Remaja perempuan hilang, polis minta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat

KUANTAN: Polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan Puteri Nur Allysha Mayzarah Mohd Azri berusia 14 tahun yang dilaporkan hilang sejak Rabu lalu, melaporkan kepada polis.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, pihaknya menerima laporan daripada ibu remaja berusia 42 tahun itu pada hari sama.

Katanya, berdasarkan laporan, ibu remaja terbabit menyedari anak perempuannya hilang selepas mendapati anak perempuannya itu tiada di rumah di Kampung Pandan, di sini pada jam 4.30 petang.

“Berikutan itu, ibu remaja itu keluar mencari dan cuba menghubungi melalui telefon tetapi gagal. Bimbang keselamatan anaknya, ibu itu membuat laporan polis pada jam 8.10 malam hari sama.

“Kali terakhir ibu bertemu anak perempuan bongsu daripada tiga beradik itu pada jam 12 tengah hari, hari sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai remaja itu boleh ke balai polis berhampiran.

BH ONLINE