Remaja 17 tahun masuk bilik teman wanita melalui tingkap sebelum rogol

BATU PAHAT — Remaja lelaki berusia 17 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan merogol kenalan perempuan bawah umur selepas masuk ke rumah mangsa melalui tingkap bilik.

Tertuduh dihadapkan di hadapan Majistret Suhaila Shafi’uddin untuk pendakwaan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia didakwa merogol mangsa berusia 16 tahun itu di sebuah rumah di daerah ini pada jam 1.05 pagi, Sabtu lalu.

Berdasarkan laporan polis, tertuduh datang ke rumah remaja perempuan itu dan masuk melalui tingkap bilik yang sudah dibuka mangsa sebelum merogolnya sebanyak dua kali.

Perbuatan itu terbongkar selepas abang mangsa ternampak kelibat tertuduh di luar bilik tanpa memakai baju lalu menahannya yang ketika itu cuba melarikan diri.

Laporan dibuat ahli keluarga mangsa di Balai Polis Sri Medan, dekat sini pada 7 September dan tertuduh ditahan pada hari sama.

Remaja lelaki itu yang tidak diwakili peguam mengaku bersalah sebelum mahkamah membenarkan ikat jamin RM1,000 dan menetapkan 23 Oktober ini untuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan laporan akhlak selain fakta dan hukuman.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Wahidah Mohd Sharip.

BH ONLINE

Just Pic