Polis siasat kes lelaki acah pukul guna kayu di Lebuhraya EDL

JOHOR BAHRU – Polis membuka kertas siasatan berhubung satu kejadian pertengkaran yang berlaku di Lebuhraya Eastern Dispersal Link (EDL) menghala ke Bangunan CIQ, di sini selepas video insiden itu tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata siasatan dijalankan selepas rakaman berdurasi 27 saat memaparkan seorang lelaki bertengkar dengan seorang lagi individu sebelum mengacah mahu memukulnya menggunakan sebatang kayu.

“Kejadian membabitkan seorang lelaki yang memandu Honda HR-V berwarna perak bertikam lidah dengan seorang lelaki lain. Berdasarkan video, suspek dilihat mengugut mangsa dengan kayu.

“Pihak polis kini giat mengesan kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Video tersebut dimuat naik di media sosial kelmarin, dipercayai berlaku ketika jalan raya sesak, bagaimanapun punca sebenar tidak diketahui.

BH ONLINE

ad