Peserta luar negara meriahkan Pesta Wau Antarabangsa Kelantan Ke-14

KOTA BHARU — Seramai 205 peserta termasuk 32 dari 15 negara luar bakal berkampung di Pantai Geting, Tumpat, sempena Pesta Wau Antarabangsa Kelantan Ke-41 selama tiga hari bermula Khamis ini.

Antara yang mengambil bahagian termasuk peserta dari Australia, Singapura, Brunei, China, Kemboja, Thailand, Jerman, Hong Kong, Korea dan Poland.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamaruddin Md Nor, berkata pihaknya menyasarkan seramai 200,000 hadir memeriahkan acara tahunan itu.

“Pemilihan tema kali ini adalah ‘Wau Sepanjang Zaman’ yang membawa maksud permainan wau atau layang-layang yang masih relevan sebagai medium riadah.

“Secara langsung, penganjuran acara ini dapat menjana ekonomi setempat dengan memberi peluang dan ruang terutama mereka yang terbabit dalam sektor perniagaan serta perhotelan,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kamaruddin berkata, pelbagai acara menarik diadakan sepanjang pesta itu termasuk pertunjukan wau dan layang-layang, bengkel layang-layang antarabangsa serta pertandingan wau tradisi dan kebangsaan.

Selain Pesta Wau Antarabangsa Kelantan, dua lagi acara besar yang dijangka menarik minat pengunjung sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 ialah Larian Gunung Tok Nenek Bubu Yong Yap (TNBYY) Ultra dan Karnival Sukan Udara Antarabangsa Kelantan 3.0.

“Selain itu, pengisian lain untuk acara yang akan berlangsung di Pasir Puteh pada 5 hingga 8 Julai ini adalah permainan kapal terbang kawalan jauh (RC), RC helikopter, RC dron, paramotor dan ‘power hang glider’,” katanya.

BH ONLINE