Perselisihan faham punca pemandu jengkaut ditetak sehingga mati

JASIN — Perselisihan faham dipercayai punca pembunuhan seorang pemandu jengkaut selepas diserang dan ditetak sekumpulan lelaki bertopeng di Taman Rim Baru, di sini, malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superitendan Ahmad Jamil Radzi, berkata buat masa ini pihaknya masih menjalankan siasatan kejadian terbabit bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian yang membawa kepada insiden itu.

“Daripada soal siasat dan siasatan awal dijalankan terhadap suspek, dipercayai perselisihan faham yang berlaku sebelum ini menjadi motif kejadian. Polis membuka empat kertas siasatan bagi kes ini,” katanya.

Mengulas sama ada pergaduhan yang berlaku ada kaitan dengan kumpulan kongsi gelap, Ahmad Jamil berkata ia masih dalam siasatan.

Katanya, semua tangkapan empat suspek berusia antara 20 hingga 35 tahun itu dibuat pihaknya di sekitar daerah Jasin.

Semalam, seorang pemandu jengkaut maut dipercayai ditetak sekumpulan lelaki bertopeng bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai gunting rambut, di Rim, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, kumpulan lelaki terbabit mengejar mangsa yang dalam perjalanan Hospital Jasin bagi menerima rawatan.

Mangsa meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

BH ONLINE

Just Pic