SUNGAI PETANI — Seorang penghantar makanan p-hailing maut selepas motosikal yang ditungganginya dilanggar Proton Iswara di Jalan Persiaran Aman Jaya 2, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, Muhammad Hasmadi Jamil, 24, yang menunggang motosikal Honda EX-5 disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail, berkata kereta yang dipandu wanita berusia 26 tahun itu dari arah Taman Seroja menghala ke Jalan Alor Setar-Butterworth, manakala motosikal mangsa dari arah bertentangan.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu wanita itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan bertentangan.
“Motosikal yang ditunggangi mangsa yang datang dari arah bertentangan pula tidak sempat mengelak kemudian melanggar bahagian sisi sebelah kiri kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Wan Azharuddin berkata, pemandu kereta yang bekerja sebagai jurujual di kedai buku mengalami kecederaan pada tangan dan kepala dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini untuk rawatan lanjut.
BH ONLINE