MUAR – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, memerintahkan seorang penganggur membela diri atas tuduhan merogol sepupu perempuannya selepas mangsa menghantar makanan ke rumah jiran di Segamat, lima tahun lalu.
Hakim Sayani Mohd Nor membuat keputusan itu selepas mahkamah mendapati pihak pendakwaan diketuai Diyana Najihah Muhamed Fauzi berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh berusia 41 tahun itu.
Ketika membaca keputusan di akhir pendakwaan, Sayani memaklumkan, tertuduh diarah membela diri berdasarkan keterangan relevan daripada saksi pendakwaan termasuk mangsa.
“Atas pertimbangan maksimum ketika ini, mahkamah sewajarnya memerintahkan kamu (tertuduh) membela diri kerana wujud prima facie dalam kes ini,” katanya.
Sejurus keputusan itu, mahkamah memberi tiga pilihan terhadap tertuduh sama ada membuat akuan bersumpah dari kandang saksi, akuan tidak bersumpah atau memilih berdiam diri.
Tertuduh yang diwakili peguam Nur Shuhadah Mahzan kemudian memilih membuat akuan bersumpah dari kandang saksi.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 dan 13 Jun ini untuk tertuduh membela diri.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa merogol sepupunya berusia 11 tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Segamat pada jam 10.30 malam, 26 Jun 2020.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang sabit boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.
Berdasarkan laporan dibuat, pada hari kejadian mangsa diminta ibunya menghantar makanan kepada jirannya yang juga warga emas berusia 80 tahun tidak jauh dari rumahnya.
Ketika dalam perjalanan pulang, mangsa melalui hadapan rumah tertuduh kerana ia satu-satunya lorong yang ada di kawasan itu.
Tertuduh ternampak kelibat mangsa lalu memanggilnya masuk ke dalam rumah dan membawa sepupunya masuk ke bilik lalu merogolnya.
Mangsa tidak pulang ke rumah pada malam kejadian menyebabkan keluarga keluar mencari di merata tempat dan mangsa pulang keesokan hari serta terserempak dengan abangnya.
Keluarga mangsa bertanyakan ke mana dia pergi pada malam kejadian sebelum dia menceritakan kejadian sebenar.
Polis menunggu dua tahun selepas kejadian itu untuk mendakwa tertuduh kerana dia ditahan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) berkaitan kes dadah.
BH ONLINE