GUA MUSANG — Seorang pendaki lelaki meninggal dunia di Gunung Yong Balar selepas menunjukkan tanda tiada selera makan dan muntah ketika berada di kawasan pergunungan itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh, berkata kumpulan pendaki seramai tujuh orang bersama seorang malim gunung itu mula mendaki sejak 16 September lalu.
Katanya, selepas empat hari mendaki, malim gunung membawa seorang peserta keluar dan keesokannya dua lagi pendaki keluar.
“Makluman daripada pendaki yang keluar pada hari kelima, mangsa yang juga lelaki berusia 37 tahun sudah menunjukkan tanda-tanda tidak mahu makan dan muntah.
“Malim gunung yang berada di luar, masuk kembali bersama seorang lagi pendaki untuk mencari tiga lagi rakannya termasuk mangsa.
“Selepas dua jam setengah perjalanan, mereka bertemu mangsa dalam keadaan separuh sedar dan rakannya dalam keadaan kelaparan kerana kehabisan makanan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Nor Azizi berkata, malim gunung cuba membawa keluar mangsa dengan menggunakan ‘sleeping bag’, namun hanya mampu melakukannya setengah jam sebelum berhenti.
Malim gunung kemudiannya keluar seorang diri dengan meninggalkan mangsa bersama rakan apabila dimaklumkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) anggota Bomba Gua Musang tiba kira-kira jam 5 petang.
“Dalam usaha masuk ke lokasi mangsa berada, pasukan SAR bersama malim gunung tersasar dua kali dari trek menyebabkan mereka gagal sampai dan terpaksa berpatah balik.
“Dalam masa yang sama malim gunung dihubungi melalui radio oleh peserta yang berada bersama mangsa memaklumkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Ketika hampir sampai ke tempat bermula masuk, anggota SAR Bomba Gua Musang bertemu anggota SAR Bomba Cameron Highlands.
“Anggota Bomba Cameron Highlands bersama malim gunung masuk semula mencari mangsa dan rakannya dan berjaya sampai di lokasi kira-kira jam 10 malam,” katanya.
Beliau berkata mangsa bersama pendaki lain di bawa keluar pada jam 2 pagi dan diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Gua Musang.
BH ONLINE