BUTTERWORTH — Tertekan selepas bergaduh dengan isteri dipercayai punca seorang lelaki warga asing menjerut leher dan badannya dengan tali pinggang keledar kereta sehingga maut.
Lelaki berusia 19 tahun ditemukan jam 2 petang di tapak letak kenderaan terpakai di Bagan Ajam, petang kelmarin dalam keadaan terbaring tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman mengesahkan kejadian dan siasatan di lokasi menunjukkan tiada unsur jenayah.
“Bedah siasat semalam mendapati punca kematian adalah disebabkan jerutan pada leher.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan menerusi Facebook (FB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, hari ini.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, mangsa bertindak sedemikian dipercayai menghadapi tekanan perasaan.
“Berdasarkan soal siasat terhadap majikan dan rakan sekerja memberitahu si mati mempunyai masalah dengan isterinya.
“Si mati dikatakan baru datang dari Kuala Lumpur dan bekerja di sebuah kedai cuci kereta tiga hari sebelumnya,” katanya.
BH ONLINE