KUALA TERENGGANU — Seorang lelaki maut apabila pokok sagu yang ditebang untuk diberi makan kepada kambing jatuh menimpanya dalam kejadian di Kampong Kolam Mengabang Telipot, dekat sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata kejadian disedari abang mangsa kira-kira jam 1.50 petang.
Beliau berkata, Mohamad Muaqil Mohamad Sabri, 26, dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri disyaki ditimpa pokok yang ditebangnya sendiri untuk dijadikan makanan kambing.
Katanya, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Sebaik menerima laporan daripada abang mangsa, kita terus ke tempat kejadian. Selain itu kita juga ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk menjalankan siasatan ke atas mayat mangsa,” katanya.
BH ONLINE