ISKANDAR PUTERI — Pemandu kereta Nissan GTR maut selepas kenderaan yang dipandunya terbabas di bulatan Kampung Sungai Melayu, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata penumpang kereta itu pula cedera ketika nahas jam 4 pagi itu.
Katanya, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) daerah Iskandar Puteri menerima maklumat berkaitan kemalangan maut membabitkan sebuah kenderaan terbabas sendiri.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta terbabit yang dipandu lelaki tempatan berusia 41 tahun, datang dari arah Puteri Harbour menuju ke Gelang Patah.
“Setiba di bulatan Kampung Sungai Melayu, mangsa dikatakan gagal mengawal keretanya dan terbabas. Mangsa yang cedera parah pada kepala dan kaki meninggal dunia di lokasi.
“Sementara penumpang lelaki tempatan berusia 36 tahun mengalami luka ringan,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.
BH ONLINE