Pemandu maut, 3 cedera kereta rempuh pokok

ISKANDAR PUTERI — Pemandu kereta maut, manakala tiga penumpang cedera selepas kenderaan dinaiki terbabas dan merempuh pokok di Persiaran Medini 5 di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kemalangan itu kira-kira jam 2.50 pagi.

“Mangsa yang maut ialah pemandu kereta yang juga lelaki tempatan berusia 23 tahun bersama tiga penumpang lain dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

“Kereta yang dipandu dengan laju hilang kawalan apabila melalui selekoh lalu terbabas ke bahu jalan dan melanggar sebatang pokok.

“Mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pemandu kereta disahkan maut di lokasi kemalangan, mayatnya dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, untuk bedah siasat.

Tiga penumpang yang juga lelaki berusia antara 18 hingga 39 tahun itu dirawat di HSA.

BH ONLINE