Pelajar perempuan dilaporkan hilang sejak Sabtu

KUALA TERENGGANU – Seorang pelajar perempuan dilaporkan hilang selepas tidak berada di asrama sekolahnya di daerah ini sejak Sabtu lalu.

Pelajar yang dikenali sebagai Muna Qaisara Muhammad Budiman, 15, kali terakhir dilihat memakai jubah berwarna merah hati dan tudung warna krim.

Ibunya, Juliana Johari, 42 berharap orang ramai yang memiliki ‘dashcam’ kereta di sekitar laluan sekolah sekitar kawasan Serada, di sini, supaya dapat membantu mereka mengesan Muna Qaisara.

“Ada juga pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan maklumat palsu kononnya Muna Qaisara sudah dijumpai sedangkan ia tidak benar dan hanya menambah kesedihan kami sekeluarga.

“Kami sekeluarga berharap Muna Qaisara dapat ditemukan dalam keadaan selamat secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan mengenai kehilangan pelajar terbabit kelmarin.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menghubungi talian 0135714157 atau 0133092947 dan tampil ke mana-mana balai polis segera bagi membantu siasatan.

BH ONLINE