Pekerja tongkang besi Pulau Andaman ditemukan maut jatuh di laut

GEORGETOWN — Pekerja tongkang besi warga China ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh di laut di Pulau Andaman berhampiran Tanjung Tokong di sini, hari ini.

Mangsa, Mio Baddong, 52, dikatakan hilang dan dikhuatiri terjatuh di laut ketika menjalankan kerja di atas tongkang besi berkenaan, Jumaat lalu.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal Mohd Hairi Fazzil berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.14 pagi.

Katanya, sepasukan 11 anggota ke lokasi termasuk Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA).

“Kerja mencari sudah dilakukan beberapa agensi termasuk PDRM pada hari lelaki malang itu dilaporkan hilang dan hari ini, kami terima panggilan bagi membantu dalam pencarian.

“Mayat mangsa ditemukan pada jam 2.54 petang, beberapa meter dari kawasan mangsa dilapor terjatuh,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Hairi berkata, mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat dan kes diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Difahamkan, mangsa disedari hilang oleh rakannya selepas selesai kerja di tongkang besi berkenaan kira-kira jam 7 petang kelmarin.

BH ONLINE