Pekerja restoran maut dipercayai ditikam dalam pergaduhan

BALIK PULAU — Seorang pekerja sebuah restoran makanan Thai di Jalan Bukit Genting, di sini, ditemui maut dipercayai akibat ditikam dalam insiden pergaduhan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 3.15 pagi itu, pekerja warga asing berkenaan dijumpai dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad, berkata susulan itu, pihaknya melancarkan Op Kejam Genting bagi mengesan suspek.

“Hasilnya, polis berjaya menahan sembilan lelaki membabitkan lapan warga asing dan seorang warga tempatan berusia antara 20 hingga 35 tahun untuk membantu siasatan.

“Hasil siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca daripada perasaan tidak puas hati,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Hamzah berkata, kesemua suspek direman selama seminggu hingga 11 Ogos ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara selama 30 hingga 40 tahun dan boleh dikenakan minimum 12 sebatan,” katanya.

BH ONLINE

Just Pic