MELAKA – Pekerja kilang dipenjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah mencabul kehormatan seorang gadis yang berjoging di taman rekreasi dekat Bukit Serindit, minggu lalu.
Muhammad Ridzuan Yusof, 28, yang juga orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran membuat pengakuan itu sejurus dibacakan dan diterangkan pertuduhan oleh jurubahasa mahkamah.
Majistret Sharda Sheinha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Ridzuan selepas menerima pengakuan dan mensabitkannya seperti pertuduhan.
Beliau turut menimbangkan fakta kes, rayuan tertuduh, hujah pemberatan hukuman oleh pendakwaan serta menetapkan hukuman bermula dari tarikh tangkap 11 April lalu.
Terdahulu, Sharda Sheinha turut bertanya semula bagi memastikan tertuduh memahami secara tuntas pertuduhan dikenakan kepadanya berikutan dia hanya mengangguk sahaja, sebelum menjawab ‘ya, faham’.
Berdasarkan pertuduhan dia didakwa sengaja melakukan kekerasan jenayah terhadap seorang perempuan berusia 20 tahun 10 bulan dengan memeluk dan menyentuh kemaluan serta menekup mulut mangsa dari belakang dengan niat mencabul kehormatan hingga mendatangkan ketakutan dan kegentaran kepada mangsa.
Perbuatan itu dilakukan di Taman Bandaraya Bukit Serindit, dekat sini, kira-kira jam 10 malam pada 10 April lalu, dan dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 10 tahun atau denda atau sebat atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, semasa kejadian pengadu yang bekerja sebagai pembantu klinik gigi berjoging di taman itu bersama seorang rakan.
Apabila selesai mangsa ditinggalkan sendirian dan menunggu berhampiran Stadium Hoki di situ kerana rakannya menyambung berjoging sebelum tiba-tiba didatangi suspek lelaki (tertuduh) yang melakukan perbuatan seperti dalam pertuduhan.
Tertuduh melarikan diri apabila mangsa yang terkejut menjerit meminta tolong, namun dia dicekup polis apabila pengadu membuat laporan polis.
Peguam Muhammad Izzuddin Ab Malek memohon hukuman denda ringan atas alasan tertuduh OKU pembelajaran dan bekerja kilang dengan pendapatan RM1,500 sebulan serta membantu menyara keluarganya.
Timbalan Pendakwa Raya Wardah Isshar bagaimanapun berhujah supaya hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh.
“Kesalahan dilakukan di tempat awam terhadap seorang perempuan pada waktu malam.
“Fakta tertuduh OKU bukan alasan untuk peringan hukuman kerana dia bukan OKU masalah mental,” katanya.
BH ONLINE