KUALA LUMPUR – PAS membangkitkan isu kejanggalan dalam siasatan dan tangkapan seorang wartawan portal berita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kelmarin.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata kejanggalan itu boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap SPRM, sama ada dalam aspek profesionalisme atau sudut ketelusan tindakan agensi antirasuah itu.
Beliau menganggap tindakan itu bertujuan untuk menutup mulut wartawan dan media yang mendedahkan isu salah laku rasuah di pintu masuk negara, sekali gus memenuhi kepentingan pihak berkepentingan dalam isu itu.
“PAS merasa hairan apakah istimewanya laporan portal itu sehinggakan SPRM mengambil inisiatif khusus, hanya berdasarkan laporan ejen, yang jelas pihak berkepentingan langsung, untuk memerangkap seorang wartawan kerana laporannya mengenai kegiatan yang bukan lagi rahsia itu?
“Sekiranya dakwaan peras ugut jenayah oleh wartawan terbabit benar, bukankah perkara itu sepatutnya dilaporkan kepada pihak polis untuk siasatan bawah Kanun Keseksaan, bukannya diambil tindakan bawah Akta SPRM?
“Malah, sekiranya laporan media itu pula salah atau dianggap memfitnah, bukankah pihak terkesan turut dilindungi undang-undang, sama ada melalui tindakan sivil atau jenayah, bukannya dengan membuat laporan kepada SPRM?” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Semalam, BH melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan seorang petugas media ditahan malam kelmarin.
Beliau berkata, wartawan itu ditahan berhubung dakwaan kes rasuah dan bukannya mengenai pendedahan isu pendatang warga asing tanpa izin (PATI) seperti yang didedahkan portal berita berkenaan.
Mengulas lanjut, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, tindakan SPRM dilihat sebagai langkah yang berlawanan dengan peranan wartawan dan media sebagai institusi teras demokrasi, prinsip kebebasan bersuara serta semak dan imbang awam.
“Apa-apa tindakan yang boleh dilihat bertujuan mengganggu, menyekat atau menakut-nakutkan media serta wartawan hendaklah dielakkan sama sekali, terutamanya oleh agensi kerajaan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut menyeru SPRM untuk menggandakan siasatan terhadap kegiatan haram di pintu masuk negara yang membabitkan kakitangan Jabatan Imigresen, kerana ia lebih berpotensi menimbulkan masalah lebih serius dan berbahaya bagi keselamatan serta ekonomi negara.
“Umum mengetahui kes salah laku dan rasuah membabitkan pegawai imigresen dan ejen pekerja asing bukanlah perkara baharu, malah sering kali dibangkitkan dalam masyarakat mahupun di Parlimen.
“September lalu, SPRM menahan 37 penguat kuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kerana disyaki bersekongkol dan menerima rasuah daripada sindiket membawa masuk warga asing melalui pintu KLIA,” katanya.
BH ONLINE