Pakar PBB gesa semua negara iktiraf kenegaraan Palestin

Seorang penunjuk perasaan mengibarkan bendera Palestin semasa perhimpunan pro-Palestin di hadapan kedutaan AS di Mexico City pada 1 Jun 2024. (Fail/AFP)

GENEVA — Sekumpulan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin menggesa semua negara mengiktiraf sebuah negara Palestin bagi memastikan keamanan di Timur Tengah.

Seruan itu dibuat kurang seminggu selepas Sepanyol, Ireland dan Norway secara rasmi mengiktiraf negara Palestin, mencetuskan kemarahan daripada Israel, yang mendapati dirinya semakin terpencil selepas hampir lapan bulan perang di Gaza.

Pakar, termasuk Pelapor Khas PBB mengenai situasi hak asasi manusia di wilayah Palestin, berkata pengiktirafan negara Palestin adalah pengiktirafan penting terhadap hak rakyat Palestin dan perjuangan mereka ke arah kebebasan dan kemerdekaan.

“Ini adalah pra-syarat untuk keamanan berkekalan di Palestin dan seluruh Timur Tengah – bermula dengan pengisytiharan segera gencatan senjata di Gaza dan tiada lagi pencerobohan tentera ke Rafah,” kata mereka.

“Penyelesaian dua negara kekal sebagai satu-satunya jalan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa menuju keamanan dan keselamatan bagi kedua-dua Palestin dan Israel serta jalan keluar daripada kitaran generasi keganasan dan kebencian.”

Kementerian Luar Israel tidak segera menjawab permintaan untuk komen.

Dengan pengiktirafan mereka terhadap negara Palestin, Sepanyol, Ireland dan Norway berkata mereka berusaha untuk mempercepatkan usaha untuk mendapatkan gencatan senjata dalam perang Israel dengan Hamas di Gaza.

Ketiga-tiga negara itu berkata mereka berharap keputusan mereka akan mendorong negara-negara Kesatuan Eropah (EU) yang lain untuk mengikutinya.
Parlimen Denmark kemudiannya menolak cadangan untuk mengiktiraf negara Palestin.

Israel telah berulang kali mengecam tindakan mengiktiraf sebuah negara Palestin, dengan mengatakan ia menyokong Hamas, kumpulan militan Islam yang mengetuai serangan maut 7 Oktober ke atas Israel yang mencetuskan serangan Israel di Semenanjung Gaza.

Konflik itu telah membunuh lebih 36,000 rakyat Palestin, menurut kementerian kesihatan Gaza. Israel berkata serangan 7 Oktober, yang paling teruk dalam sejarah 75 tahun, membunuh 1,200 orang, dengan lebih 250 tebusan telah diambil.

AN memetik Reuters