Op Global: 171 individu ditahan reman seminggu bantu siasatan

KUALA LUMPUR — Semua 171 individu yang ditahan dalam Op Global di Selangor dan Negeri Sembilan semalam, direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes eksploitasi 402 kanak-kanak dari 20 rumah amal di dua negeri berkenaan.

Mengesahkan perkembangan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan pelbagai kementerian dan agensi bagi melengkapi siasatan serta tindakan susulan ke atas semua mangsa terbabit.

“Kita perlu teruskan siasatan bagi melihat apa lagi tindakan yang boleh diambil, terutamanya dari segi pendidikan. Kita tahu bahawa yang berumur sepatutnya bersekolah, tapi ini tidak ke sekolah dan dia ada pendidikannya sendiri.

“Kita mungkin akan berhubung dengan Kementerian Pendidikan juga. Apabila dia buka rumah amal ini, kononnya untuk anak yatim, kita juga nak melihat adakah rumah amal ini didaftarkan.

“Itu semua siasatan kita. Daripada situ juga mungkin ada kesalahan-kesalahan lain yang kita boleh lihat lagi, akan ada saksi-saksi yang akan tampil,” katanya ketika dihubungi media, hari ini.

Polis semalam menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia antara setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 18 rumah amal di Selangor dan dua di Negeri Sembilan menerusi operasi Op Global.

Razarudin dalam satu sidang media di Kuantan dilaporkan berkata pihaknya turut menahan 171 individu mengendalikan premis terbabit untuk siasatan lanjut.

Hasil serbuan itu katanya, mendedahkan berlaku kesalahan pengabaian serta penganiayaan terhadap kanak-kanak dan remaja yang juga penghuni di rumah amal itu.

Selain diliwat dan meliwat, Razarudin berkata mangsa yang kurang sihat juga tidak dibenarkan mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan mereka menjadi kritikal.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata semua kanak-kanak dan remaja yang menjadi mangsa, masih dalam proses dokumentasi dan pemeriksaan kesihatan.

“Kita rasakan perlu untuk kita ambil DNA. Pasal bapa-bapa mereka, kita tahu adalah ahli-ahli GISB itu sendiri.

“Tentang aspek kesihatan dan kebajikan, agensi seperti Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memang sentiasa ada dengan kita dan ditempatkan di PULAPOL,” katanya

Razarudin berkata pada masa ini, semua premis yang diserbu semalam ditutup buat sementara waktu dan berkemungkinan akan diambil tindakan sita.

BH ONLINE

Just Pic