Nelayan intai, miliki video wanita buang air besar dipenjara setahun

KOTA BHARU — Seorang nelayan dipenjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan memiliki video seorang wanita sedang membuang air besar dan gambar lucah dalam telefon bimbit, pada 26 Ogos lalu.

Muhamad Aiman Aqmal Mohammad, 23, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki, mengintai dan merakam video seorang wanita berusia 48 tahun yang sedang membuang air besar di tandas sebuah rumah dengan maksud mengaibkan mangsa di Pantai Pulau Kundur, jam 7.07 pagi pada 31 Mei lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki gambar lucah dalam telefon bimbit.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuala Besar Kampung Pulau Kundur di sini, jam 11.40 malam, pada 26 Ogos 2024.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nursyafiqah Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, tertuduh yang bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan tidak menentu memohon hukuman penjara.

Bagaimanapun, Nursyafiqah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh kerana perbuatan itu mengaibkan mangsa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara setahun bagi pertuduhan pertama dan setahun bagi pertuduhan kedua. Hukuman itu diarahkan berjalan serentak dari tarikh tertuduh ditahan pada 26 Ogos lalu.

Pada prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen, tertuduh turut didakwa melakukan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun sembilan bulan ketika kejadian, pada 24 Julai lalu.

Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.

BH ONLINE

Just Pic