Najib, Dzulkefly bincang selesaikan saman fitnah secara baik

KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Datuk Seri Najib Razak dalam perbincangan untuk menyelesaikan pertikaian saman fitnah membabitkan kedua-dua belah pihak secara baik.

Kes saman fitnah berkenaan difailkan Dzulkefly pada Januari 2022 atas kapasiti peribadi terhadap Najib, selepas mendakwa bekas perdana menteri itu memuat naik satu hantaran fitnah di Facebook berhubung isu kronisme.

Peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita selepas prosiding, memberitahu kedua-dua pihak sedang berbincang bagi mencapai penyelesaian.

Katanya, Hakim Arziah Mohamed Apandi menetapkan pengurusan kes lanjut pada 7 April ini.

Sementara itu, Dzulkefly ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hanya menjawab ringkas: “Kita sedang berbincang.

Dzulkefly yang ketika itu Menteri Kesihatan, mendakwa Najib memuat naik satu hantaran fitnah di Facebook pada 24 Ogos 2020 mengenai isu kronisme, berserta satu lampiran paparan skrin artikel Sinar Harian bertarikh 28 Januari 2019 dengan gambar plaintif.

Plaintif berkata, kenyataan itu antaranya membawa maksud beliau mengamalkan kronisme dengan penawaran jawatan atau lantikan kepada saudara-mara, tanpa melalui apa-apa penilaian objektif dan keupayaan terhadap sesuatu jawatan dalam syarikat kerajaan atau swasta.

Plaintif mendakwa, Najib selaku defendan menerbitkan hantaran fitnah itu dengan niat menyerang peribadinya, menjatuhkan maruah dan mengaibkan selain bermotif politik yang secara nyata berniat untuk memfitnah dan menjejaskan reputasinya.

Sementara itu, Najib dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 29 Mac 2022 mendakwa, hantaran mengenai isu kronisme di akaun Facebook tiada kaitan dengan Dzulkefly, tetapi merujuk kepada gabungan parti Pakatan Harapan (PH).

BH ONLINE

ad