KUALA LUMPUR – Seorang wanita maut selepas tercampak dari Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 0.7 lebuh raya itu menghala ke Shah Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, berkata hasil siasatan awal mendapati wanita itu dipercayai tercampak dan jatuh dari ketinggian dianggarkan antara 30 hingga 35 meter ke bawah lebuh raya berkenaan.
Beliau berkata, terdahulu Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, menerima laporan berhubung nahas itu pada jam 6.50 petang.
“Hasil siasatan mendapati mangsa adalah seorang wanita warga tempatan berumur 30 tahun menunggang motosikal yang dipercayai hilang kawalan ketika melalui jalan berselekoh.
“Motosikalnya kemudian bergesel dengan sebuah kereta di hadapan sebelum mangsa tercampak jatuh ke bawah ‘flyover’ (jejambat) pada ketinggian dianggarkan 30 hingga 35 meter,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badannya.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kita memohon saksi yang melihat atau berada di tempat kejadian untuk tampil membantu siasatan polis dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Hisyam Azih, melalui talian 017-7378704,” katanya.
Beliau sekali gus mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang insiden kemalangan.
BH ONLINE