SERDANG — Mayat dipercayai seorang lelaki dengan kesan terbakar di seluruh badan ditemui di bahu jalan kira-kira 300 meter dari Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Serdang, di sini, hari ini.
Mayat berkenaan ditemukan di bawah sebatang pokok dalam keadaan mengiring menghadap ke landasan KTM dan masih lengkap berpakaian.
Saksi kejadian, Husna, 34, berkata dia terlihat jasad terbabit ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bersarapan bersama anak dan suaminya.
“Kami menunggang motosikal dari kedai mamak dan dalam perjalanan pulang ke rumah, saya ternampak sesuatu yang kelihatan seperti mayat manusia.
“Saya beritahu pada suami tetapi suami kata tak mungkinlah. Jadi, suami pun pusing untuk tengok lagi sekali dengan lebih dekat.
“Saya terkejut apabila melihat objek itu sebenarnya memang mayat seseorang. Ketika saya jumpa, dia sudah tidak bergerak dan saya pun terus ke balai polis buat laporan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan, berkata pihaknya menerima laporan daripada orang awam pada jam 12.35 tengah hari tadi.
“Mangsa dipercayai lelaki, laporan diterima daripada orang awam. Nanti saya akan kongsikan kenyataan lebih lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
BH ONLINE