IPOH — Mayat bayi yang ditemui ditanam di parkir berlantai simen sebuah rumah teres setingkat di Taman Sri Rokam, di sini pagi tadi adalah bayi perempuan yang dilahirkan tidak cukup bulan.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, berkata berdasarkan keterangan pakar patologi, bayi itu lahir ketika kandungan berusia tujuh bulan dan siasatan tidak menemukan sebarang kecederaan.
Beliau berkata mayat bayi dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) petang tadi dan bedah siasat akan dilakukan jam 9 pagi esok.
Katanya, setakat ini tiada tangkapan dibuat dan kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Sementara itu Abang Zainal Abidin berkata berdasarkan keterangan pemilik rumah berkenaan, kali terakhir rumah itu dihuni wanita warga Indonesia yang lari sejak sebulan lalu.
Katanya, rumah itu disewakan kepada wanita berkenaan sejak tiga tahun lalu dengan kadar sewa RM400 sebulan.
“Pemilik rumah tinggal selang sebuah rumah dari rumah tempat mayat bayi dijumpai.
“Keterangan daripada pemilik rumah menyatakan rumah itu adalah miliknya yang dibeli sejak 20 tahun lalu dan disewakan.
“Pemilik rumah juga menyatakan wanita Indonesia itu mengandung kerana dia mengutip sewa setiap bulan memandangkan penyewa membayar secara tunai,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, penemuan mayat bayi itu disedari sekitar jam 11 pagi tadi apabila bakal penyewa baharu sedang menjalankan kerja baik pulih dengan mengorek tanah untuk menyimen semula lantai parkir.
“Sekitar 11 pagi tadi saksi berjumpa dengan (bakal) penyewa baharu rumah berkenaan iaitu seorang lelaki berumur 37 tahun juga warga Indonesia yang bekerja sebagai pengubahsuai rumah.
“Ketika penyewa baharu itu sedang mengorek tanah, dia terjumpa cebisan kain sebelum menarik kain berkenaan dan menemui mayat bayi,” katanya.
BH ONLINE