KUALA LUMPUR — Masih ramai yang enggan tampil membuat laporan berkaitan kes jenayah penderaan dan penganiayaan terhadap kanak-kanak, terutama yang membabitkan ahli keluarga terdekat.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, berkata kebiasaannya ahli keluarga bertindak ‘menyorokkan’ kes sedemikian atas alasan tertentu, terutama tidak mahu si pelaku didakwa dan seterusnya menerima hukuman setimpal.
“Laporan yang kita selalu terima bukan dibuat dalam kalangan keluarga atau orang yang dekat dengan mangsa. Ada (banyak sebab), antaranya ibu mangsa mungkin tidak mahu dedahkan kerana bimbang si bapa akan dipenjarakan, perkara sebegini yang kerap terjadi.
“Ini termasuklah bagi kes terutama membabitkan kanak-kanak perempuan didera secara seksual sama ada oleh bapa atau adik beradik lelaki. Ini banyak berlaku dalam negara tetapi tak dilaporkan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas rakaman Pocdcast Beyond The Headlines terbitan New Straits Times, di Balai Berita Bangsar, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kaedah bagi mengelakkan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) menjadi sasaran mudah perlakuan jenayah, katanya, pelbagai program advokasi dijalankan secara berterusan termasuk yang disasarkan kepada ibu bapa memiliki anak istimewa.
Katanya, melalui inisiatif berkenaan, kementerian itu mengenal pasti ada ibu bapa yang tidak sedar anak mereka ada ciri autisme, malah ada yang malu untuk mengakuinya.
“Ini sebahagian daripada program yang kita buat untuk meningkatkan kesedaran ibu bapa (supaya lebih peka terhadap anak-anak istimewa) dan kita bergerak ke setiap pelosok negara. Program sebegini penting untuk kita lebih memahami keperluan anak-anak ini.
“Kita juga masuk ke sekolah untuk beri kesedaran kepada kanak-kanak antaranya membawa penceramah jemputan seperti pihak polis untuk membicarakan isu gangguan seksual. Malah, dalam silibus di peringkat sekolah sudah ada pendidikan seks (di bawah subjek Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan), tetapi hanya ada empat halaman.
“Ini juga antara yang kami cadangkan, supaya silibus (pendidikan seks) di sekolah ditambah baik pada masa depan,” katanya.
BH ONLINE