Malaysia, Russia mahu Israel hentikan serangan ganas, kejam ke atas Gaza

VLADIVOSTOK — Malaysia dan Russia berkongsi pendirian supaya Israel segera menghentikan serangan ganas serta kejam ke atas Gaza.

Menjawab tuduhan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, terhadap Mesir, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia menghormati langkah yang diambil Mesir untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan, makanan dan ubat-ubatan kepada penduduk Gaza.

Perdana Menteri berkata, beliau dan Presiden Russia, Vladimir Putin, bersetuju bahawa masyarakat antarabangsa mesti meningkatkan tekanan untuk menamatkan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel di Gaza.

Pada 2 September lalu, Netanyahu menuduh Mesir membenarkan senjata diseludup kepada Hamas melalui negara itu.

Kementerian Luar Mesir kemudian membidas tuduhan itu sebagai percubaan untuk menghalang usaha penghantaran bantuan dan untuk mencapai gencatan senjata di Gaza serta perjanjian pertukaran tahanan.

Jordan, Qatar, Palestin dan Kuwait pada Rabu turut mengutuk tuduhan Israel itu.

Anwar berkata demikian pada sidang media bersama media Malaysia pada hari terakhir lawatan kerjanya ke Russia, hari ini, untuk menghadiri Forum Ekonomi Timur Kesembilan (EEF 2024), di sini.

Anwar mengadakan pertemuan dua hala dengan Putin pada Rabu di luar EEF 2024.

BH ONLINE

Just Pic