Mahkamah tolak permohonan jamin DSP polis didakwa bunuh pelajar

IPOH — Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan pegawai kanan polis untuk dibebaskan dengan jaminan atas pertuduhan membunuh seorang pelajar lelaki Tingkatan Lima berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati, di sini pada Disember tahun lalu.

Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet membuat keputusan itu selepas mendengar dan meneliti hujah permohonan dikemukakan peguam diketuai Jacky Loi Yap Loong yang mewakili tertuduh, serta hujahan balas pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz.

Tertuduh, Mohd Nazri Abdul Razak, 45, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dengan memegang pangkat Deputi Superintendan (DSP), sebelumnya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kerana membunuh.

Mohd Nazri didakwa melakukan bunuh Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17 di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati dalam daerah Kinta, di sini antara jam 11.45 pagi hingga 12.40 tengah hari, 15 Disember 2023.

Bhupindar ketika membacakan keputusannya berkata, mahkamah mendapati tiada keadaan khas dan istimewa yang dikemukakan oleh pemohon yang memerlukan pemberian jaminan diberikan.

Menurut Bhupindar, berdasarkan daripada naratif dikemukakan pihak pendakwaan, terdapat alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa adanya kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Mahkamah berpuas hati pada tahap ini, mahkamah tidak diperlukan untuk meneliti secara detail (terperinci).

“Mahkamah sudah tetapkan tarikh perbicaraan awal. Pihak pendakwaan diingatkan untuk memastikan saksi-saksi hadir,” kata Bhupindar.

Sementara itu, Afzainizam ketika ditemui selepas prosiding itu berkata, terdapat dua alasan yang dipertimbangkan mahkamah untuk menolak permohonan jamin tertuduh iaitu keadaan isteri tertuduh yang didakwa pihak pembelaan sebagai ‘terancam’, serta faktor keselamatan tertuduh sewaktu ‘bercampur’ dengan banduan lain semasa transit di penjara.

“Pertama, alasan dia keselamatan keluarga dengan dia katakan terancam.

Memandangkan insiden itu viral, isteri tertuduh pergi ke tempat kejadian, kemudian ada orang ambil gambar dia semua. Mengenai itu ‘covering report’ sahaja dia buat, tetapi tak ada pun siasatan dibuat berhubung dengan report polis itu.

“Kedua, alasan dia kata keselamatan dan nyawa dia di penjara terancam sebab dia bercampur dengan banduan lain semasa transit balik daripada mahkamah. Kita katakan isu itu tidak dibangkitkan dalam afidavid sebab dia punya komplen (aduan) dalam afidavid dia adalah dia hendak sediakan pembelaan jadi lebih sesuai dan selesa dia berada di luar.

“Kita jawab, penjara tak pernah pun halang dia (tertuduh) daripada jumpa peguam di penjara, dan tak ada pun sekatan atau gangguan kalau dia jumpa peguam dia di penjara. Jadi dua alasan terbabit bukannya keadaan khas dan istimewa untuk mahkamah pertimbangkan jaminan diberikan.

“Justeru, tidak ada keadaan khas dan istimewa untuk jaminan diberikan di bawah Seksyen 388(1) Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Dalam prosiding hari ini, dihadiri pasukan pendakwaan terdiri dari Afzainizam, Nasrul Hadi Abdul Ghani, dan Low Qin Hui; manakala pihak pembelaan hari ini diwakili Jacky Loi, Lim Chi Chau, Lim Jin Wen, Cindy Wong dan M Kuhan.

Turut hadir peguam pemerhati yang dilantik oleh keluarga mangsa, Datuk Wan Azmir Wan Majid.

Sebelum ini juga, Bhupindar menetapkan 30 hari tempoh perbicaraan bagi tuduhan kes bunuh pelajar itu dengan perbicaraan itu akan bermula pada 4 November depan dan berakhir sehingga 17 Januari 2025.

BH ONLINE

Just Pic