KAJANG – Lelaki warga Israel, Avitan Shalom, dihukum penjara maksimum tujuh tahun masing-masing bagi kesalahan memiliki 200 butir peluru dan enam senjata api pada tahun lalu, selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan itu.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd Zaki Mohd Salleh, menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan bersalah lelaki berusia 39 tahun itu membabitkan masing-masing satu pertuduhan utama dan pilihan.
“Selepas mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh dan keseriusan kesalahan memiliki senjata api, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun bagi setiap pertuduhan. Hukuman berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan pada 28 Mac 2024.
“Barang tertuduh, iaitu pasport antarabangsa, 14 kad kredit dan empat telefon bimbit, diserahkan kepada penjara dalam tempoh 14 hari,” katanya pada prosiding sebutan kes di Kompleks Mahkamah Penjara Kajang, di sini, hari ini.
Mengikut pertuduhan utama, bapa tiga anak itu didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm yang mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru dalam tiga senjata berlainan, tanpa lesen atau permit senjata.
Bagi pertuduhan pilihan pula, tertuduh didakwa memiliki enam senjata api membabitkan Glock 19 USA 9×19, Sig Sauer P3205P, Cougar 8000FT, Glock 17 Gen4 Austria 9×19, M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA and Stoeger Cougar 8000F.
Kedua-dua pertuduhan berkenaan dikemukakan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, dekat sini, antara jam 6.46 petang 26 Mac dan 6 petang 28 Mac tahun lalu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, berkata peguam tertuduh mengemukakan representasi ketiga kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 19 Februari lalu supaya pertuduhan kedua diberikan alternatif yang mana pertuduhan asal membawa hukuman lebih berat.
“Dalam representasi ketiga itu, tertuduh memohon pertuduhan kedua diberikan pindaan kepada Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.
“Lanjutan daripada representasi dikemukakan itu, AGC pada 20 Februari lalu membalas dan bersetuju dengan representasi ketiga yang dimohon tertuduh,” katanya.
Peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili tertuduh, mengesahkan mengenai representasi ketiga itu selepas dua representasi terdahulu ditolak AGC.
Naran dalam rayuan terhadap hukuman berkata, anak guamnya adalah pemilik syarikat pembekalan perubatan, hartanah dan mata wang kripto di New York.
Selain itu, beliau berkata, anak guamnya mempunyai tiga anak berusia sembilan, 10 dan 16 tahun, manakala isteri adalah seorang suri rumah, dengan kesemua mereka berada di Israel.
Sementara itu, Mohamad Mustaffa berkata, pihaknya tidak membantah hukuman penjara berjalan serentak memandangkan kesalahan berkenaan dilakukan pada masa dan tempat yang sama.
“Hukuman penjara maksimum wajar dikenakan memandangkan kesalahan pemilikan senjata api dan peluru adalah serius serta menjejaskan keselamatan rakyat dan negara,” katanya.
Naran ketika ditemui pemberita selepas prosiding, mengesahkan anak guamnya berpuas hati dan gembira dengan keputusan mahkamah hari ini.
“Saya sudah menerangkan kepadanya dan dia sangat gembira serta berpuas hati,” katanya yang turut mengesahkan anak guamnya akan menjalani hukuman di Penjara Kajang.
BH ONLINE