TAWAU – Seorang lelaki warga asing ditahan selepas disyaki cuba merogol kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun di Kampung Tanjung Batu Darat, dekat sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, tangkapan susulan laporan dibuat ibu mangsa kira-kira jam 11.15 pagi hari ini, mendakwa anaknya diganggu secara seksual oleh suspek.
Terdahulu, katanya pengadu memaklumkan mengupah suspek, 31, yang dikenalinya untuk mengupas kelapa.
“Kejadian berlaku ketika mangsa yang bersekolah sesi petang bersendirian di rumah selepas ibunya keluar menghantar dua anak lelakinya di sebuah sekolah menengah di sini.
“Suspek berpura-pura memanggil mangsa melalui pintu dapur dan sebaik mangsa membuka pintu, dia meluru masuk sebelum meminta kanak-kanak itu membuka seragam sekolah.
“Mangsa yang terkejut melarikan diri sebelum mendapatkan bantuan jiran,” katanya menerusi kenyataan.
Champin berkata suspek ditangkap orang awam sebelum diserahkan kepada polis peronda yang tiba di lokasi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 15(a)(2) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak.
BH ONLINE