Lelaki tunggu bantuan selepas Myvi terbabas, maut dirempuh Persona yang turut terbabas

SEREMBAN — Seorang lelaki yang memberhentikan keretanya yang terbabas di Kilometer 258.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, dekat sini, maut selepas dirempuh sebuah kenderaan lain yang turut terbabas beberapa minit kemudian, pagi tadi.

Sebelum kejadian kira-kira jam 5.45 pagi itu, mangsa berusia 31 tahun difahamkan keluar dari keretanya dan dikatakan berada di bahagian hadapan kenderaan ketika nahas terbabit yang menyebabkannya parah pada perut dan kaki.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din, berkata Perodua Myvi dipandu lelaki berkenaan dikatakan terbabas dan mangsa sedang menunggu bantuan ketika kemalangan terbabit.

“Siasatan mendapati mangsa dari Cyberjaya dalam perjalanan menghala ke Batu Pahat sebelum kereta dipandunya dikatakan terbabas dan melanggar besi penghadang bahu kiri jalan, pemandu kemudian keluar dari kereta.

“Selang beberapa minit kemudian, sebuah Proton Persona dipandu seorang lelaki berumur 36 tahun juga dipercayai terbabas dan berpusing masuk ke lorong kiri lalu melanggar kereta serta pemandu Perodua Myvi.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Perodua Myvi mengalami kecederaan parah di perut dan kaki sebelum disahkan maut di lokasi kejadian, manakala pemandu Proton Persona tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya hari ini.

Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Mereka yang mempunyai maklumat berkait kejadian boleh menghubungi Inspektor Tiew Chuan Jie di talian 014-9668399 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987.

BH ONLINE

Just Pic