JEMPOL — Seorang lelaki maut apabila kereta dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas ekspres di kilometer 24 Jalan Bahau-Kemayan di sini pada 10.50 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook, berkata kejadian berlaku apabila kereta dipandu lelaki berusia 36 tahun dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan bas dipandu oleh lelaki berumur 48 tahun bersama 23 penumpang dalam perjalanan ke Bahau.
Beliau berkata, susulan kemalangan itu, penumpang kereta terbabit berusia 38 tahun mengalami kecederaan parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu kereta berusia 36 tahun cedera di kaki dan muka sedang menerima rawatan di Hospital Jempol,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, pemandu bas bersama 23 penumpang lain tidak cedera dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
BH ONLINE – BERNAMA