KUANTAN — Seorang lelaki berusia 39 tahun yang dikatakan hilang kelmarin, ditemukan lemas di Sungai Pahang berhampiran tangki air Kampung Pasir Panjang, Pekan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin, berkata mayat Mohd Suffian Abu Bakar ditemui penduduk kampung, terapung di sungai itu pada jam 9.35 pagi.
Katanya, polis dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membawa mayat mangsa ke Unit Forensik Hospital Pekan untuk tindakan lanjut.
“Berdasarkan laporan, mangsa dilaporkan hilang dan tidak pulang ke rumah selepas pergi menunaikan solat maghrib di Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj, Pekan, kelmarin.
“Ahli keluarga mangsa berusaha mencari di kawasan Masjid Sultan Ahmad Shah Al-Haj tetapi tidak menemukannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pengecaman ke atas mayat diwakili kakak mangsa dan mengesahkan adiknya berdasarkan pakaian dan tanda pada badan mayat.
“Hasil bedah siasat mendapati tiada unsur jenayah dan mencurigakan pada tubuh badan mangsa dan mengklasifikasikan kematian sebagai lemas,” katanya.
BH ONLINE