BATU PAHAT — Peluang empat nelayan yang dilaporkan hilang selepas bot dinaiki karam, ditemui selamat masih ada sekiranya mereka memakai peralatan kecemasan atau berpaut pada mana-mana objek terapung.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Komander Maritim Mohd Haniff Mohd Yunus, berkata pihaknya beranggapan sekiranya mereka memakai peralatan keselamatan atau berpaut pada apa-apa objek terapung, kemungkinan untuk selamat masih ada.
“Atau mereka diselamatkan oleh nelayan lain atau komuniti yang lalu di perairan terbabit, berkemungkinan peluang mereka masih hidup tetap ada. Namun, sekiranya apa yang dikatakan tadi tidak berlaku, akan terjadi perkara di sebaliknya,” katanya.
Empat nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian 6 pagi semalam ialah tekong, Chia Kah Chong, 51, serta awak-awak, Lee Poh Ling, 68; Tan Hai Lan, 62, serta Daud Darus @ Hamid, 53.
Hanya Tan Siak Bin, 43, terselamat dalam kejadian itu selepas ditemui nelayan lain yang kebetulan melalui lokasi kejadian. Mereka dilaporkan ke laut pada jam 8 malam Khamis melalui jeti nelayan di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit.
Pada sidang media di sini hari ini, Mohd Haniff berkata, setakat jam 5 petang tadi, pasukan Operasi Mencari dan Menyelamat (Op CARILAMAT) belum menemui petunjuk atau petanda semua nelayan itu masih hidup.
Menjelaskan demikian pada sidang media, di sini hari ini, beliau berkata, berdasarkan keterangan mangsa yang terselamat, semasa kejadian, nelayan itu sempat keluar dari bot pukat tunda terbabit.
Sementara itu, katanya, operasi pada hari pertama melangkaui 27 batu nautika sebelum diperluaskan kepada 65 batu nautika membabitkan pencarian di permukaan laut.
“Untuk operasi di udara menggunakan helikopter, kita sudah melangkaui 73 batu nautika. Namun, sekiranya tidak dijumpai sehingga operasi ditangguh hari ini, kita akan perluaskan lagi kawasan percarian
“Pada masa sama, kita akan tingkatkan pencarian di pesisir pantai memandangkan kawasan geografi di Batu Pahat terdiri lokasi berpaya dan berlumpur.
“Hari ini, sebanyak enam aset laut dan juga dua pesawat digunakan daripada Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, pasukan gerakan udara Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.” katanya.
BH ONLINE