Kertas siasatan dakwaan gangguan seksual oleh polis diserah ke Bukit Aman – Rusdi

KUALA LUMPUR – Kertas siasatan berhubung dakwaan seorang wanita menjadi mangsa gangguan seksual seorang anggota polis ketika disoal siasat berkait satu himpunan di ibu negara, sudah diserahkan kepada Bukit Aman, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata kertas siasatan itu kemudian akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut.

“Saya memberi jaminan siasatan kes itu telus, orang ramai dinasihatkan tidak mengeluarkan kenyataan tidak tepat berkaitan kes itu.

“Saya tidak boleh menjelaskan hasil siasatan kerana kertas siasatan sudah dirujuk kepada Bukit Aman, sebelum diserahkan ke Jabatan Peguam Negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Pada 11 Februari lalu, media melaporkan polis sudah merakam keterangan lima individu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail dilaporkan berkata, pihaknya juga sudah merakam percakapan peguam kepada pengadu.

Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual ketika memberi keterangan di sebuah ibu pejabat polis daerah (IPD) berkaitan satu perhimpunan yang dijalankan di ibu kota, pada 19 Disember lalu.

Rusdi dilaporkan berkata, pihaknya sudah menerima satu laporan pengadu berkaitan ketidakpuasan hati di atas tingkah laku anggota polis terbabit.

BH ONLINE

ad