Kereta penuh muatan beras siam terbabas dalam tali air

TUMPAT — Sebuah kereta yang sarat dengan muatan beras siam dianggarkan seberat 300 kilogram (kg) terbabas dalam tali air di Kampung Belukar, Wakaf Bharu, jam 12 tengah hari tadi.

Difahamkan Perodua Myvi dinaiki dua lelaki ingin membelok masuk ke lorong sebelum terbabas.

Menurut saksi yang ingin dikenali sebagai Mira, 30-an, dia terdengar bunyi brek yang agak kuat sebelum ternampak kereta itu terjunam ke dalam tali air.

“Tidak lama kemudian dua lelaki dalam keadaan basah kuyup naik ke tebing dan orang ramai mulai mengerumuni tempat kejadian.

“Nasib baik kedua-dua mereka selamat kerana sebelum ini sudah beberapa kali kejadian sama (kenderaan terbabas) berlaku dan ada membabitkan kemalangan jiwa,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Difahamkan beras siam dimuatkan di tempat duduk penumpang belakang kenderaan itu.

Usaha menaikkan kereta yang mengalami kerosakan teruk itu ke tebing memakan masa hampir satu jam.

BH ONLINE

Just Pic