Kerajaan tak tunduk penggodam MAHB tuntut AS$10 juta – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak tunduk kepada penjenayah yang didakwa cuba menggodam Sistem digital Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dalam insiden yang berlaku baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penjenayah itu didakwa menuntut AS$10 juta (RM44.3 juta), namun kerajaan sama sekali tidak akan melayan tuntutannya.

“Semalam kita bicara tentang serangan siber dan ‘hacking’ (aktiviti menggodam) dan agak berat terhadap MAHB dalam satu dua hari yang lalu.

“Jadi perbincangan bagaimana menyelesaikan termasuk tuntutan daripada penggodam untuk memperoleh dana AS$10 juta atau sebagainya. Saya dimaklum, saya Alhamdulillah bulan Ramadan, saya tak tunggu lima saat pun, saya terus jawab no (tidak),” katanya.

Beliau berkata demikian berucap sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-218 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), hari ini.

Turut sama hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak memperincikan insiden penggodaman terhadap syarikat pengendali lapangan terbang berkenaan.

Namun, Anwar menegaskan insiden itu membuktikan keperluan negara untuk memperuntukkan lebih banyak sumber kepada polis dan Bank Negara Malaysia (BNM), antara lain, untuk mempersiapkan diri melawan penggodam.

BH ONLINE