Kepala air badai rumah kongsi: 2 beradik termasuk bayi 3 bulan hilang

KENINGAU — Dua beradik membabitkan kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dan bayi lelaki umur tiga bulan hilang dihanyutkan kepala air di Sungai Talangkai Karamatoi Ulu, dekat Sook, di sini, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang apabila dua beradik warga Indonesia itu, Norsifah Asrul dan adiknya, Muhd Fadli Asrul dikatakan terlepas daripada pegangan ibu dan bapa mereka ketika rumah kongsi didiami di sebuah ladang sawit dibadai kepala air.

Ketika kejadian, dua beradik itu sedang bersiap-siap untuk dimandikan di ruang tamu rumah kongsi tempat bapa mereka bekerja yang terletak kira-kira 20 meter dari sungai.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai, berkata ketika kejadian kepala air tiba-tiba meluru hingga melimpahi tebing dan menghanyutkan rumah kongsi terbabit.

Difahamkan, sebelum kejadian berlaku hujan lebat beberapa jam.

“Ketika kepala air menerjah rumah, bayi Muhd Fadli dipegang ibunya, manakala Norsifah dipegang bapanya.

“Bagaimanapun dua beradik terlepas dari pegangan ibu dan bapanya selepas kediaman mereka dirempuh kayu balak yang turut dihanyutkan kepala air dan banjir,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yampil berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa sedang dijalankan membabitkan polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan penduduk kampung.

“Ketika kejadian Muhd Fadli memakai baju warna putih dan berseluar pendek warna merah jambu, manakala kakaknya memakai gaun berwarna putih dan merah.

“Ibu bapa mangsa yang turut dihanyutkan arus deras selamat, namun mengalami kecederaan dan kini masih di Hospital Keningau untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

BH ONLINE

Just Pic