BETONG — Seorang kelindan maut selepas lori kargo dinaikinya, merempuh belakang sebuah lori muatan sawit yang diletakkan pada bahu jalan dekat Simpang Spaoh, Jalan Pan-Borneo Spaoh-Debak malam tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak berkata, mangsa Renang Brain, 24, itu disahkan mati di lokasi oleh pegawai perubatan yang turut tiba di lokasi kejadian.
“Pemandu lori berusia 47 tahun hanya alami kecederaan di bahagian kaki kiri,” katanya.
Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan berhubung nahas itu pada jam 11.44 malam.
“Sampai di lokasi, pasukan itu mendapati nahas membabitkan lori kargo yang merempuh lori dengan muatan kelapa sawit yang diletakkan di tepi jalan.
“Pemeriksaan mendapati seorang mangsa yang masih berada pada bahagian kerusi duduk penumpang,” jelasnya.
Pasukan bomba kemudiannya segera mengeluarkan mangsa sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
BH ONLINE