KD PENDEKAR karam sepenuhnya

KUALA LUMPUR — Tentera Laut Diraja (TLDM) mengesahkan kapal miliknya iaitu Kapal Diraja (KD) PENDEKAR tenggelam sepenuhnya di posisi dua batu nautika di Tenggara dari Tanjung Penyusop, Johor pada jam 3.54 petang tadi.

TLDM menerusi kenyataan, hari ini, memaklumkan usaha untuk menyelamatkan kapal melalui operasi salvaj masih dalam proses pelaksanaan.

“Usaha pantas komuniti maritim berjaya menyelamatkan kesemua 39 kru KD PENDEKAR sebelum kapal ditenggelami air sepenuhnya. Tiada kecederaan dilaporkan.

“Mereka kini berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di KD SULTAN ISMAIL di Tanjung Pengelih, Johor.

“Aset TLDM ditempatkan di lokasi kejadian bagi memantau keadaan semasa dan keselamatan persekitaran,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, TLDM memaklumkan kapalnya mengalami kebocoran dan kebanjiran besar ketika kapal berkenaan melaksanakan penugasan operasi.

Kebocoran itu dipercayai berpunca dari kapal terlanggar objek bawah air.

“Kebocoran yang mula dikesan di Bilik Jentera kapal berkenaan merebak dengan cepat dan tidak terkawal. Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, TLDM menasihatkan orang awam untuk tidak menyebarkan maklumat insiden yang tidak sah dan perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui sumber rasmi.

BH ONLINE

Just Pic