KANGAR — Wanita hamil yang cedera selepas kemalangan motosikal bersama suaminya akibat ditimpa pokok tumbang semasa ribut melanda di Kampung Padang Benta, Simpang Empat, di sini pagi tadi mengalami keguguran apabila kandungannya disahkan meninggal dunia hari ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Baeyah Abdul Wahab berkata, pemeriksaan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar mendapati mangsa, Nuraleya Syazreena Roslan Anuar, 18 yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 didapati mengalami kecederaan pendarahan dalam kepala dalam kejadian itu.
“Selain itu, mangsa turut patah tulang pinggang kiri dan kanan manakala kandungannya yang berusia lima bulan disahkan meninggal dunia oleh doktor.
“Mangsa masih dirawat di Wad Kecemasan HTF bersama suaminya yang patah tulang peha kanan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, siasatan awal polis mendapati ketika kejadian Nuraleya Syazreena menunggang motosikal berkenaan manakala suaminya, Muhammad Danish Hakim Hanizam, 18 pula membonceng motosikal itu.
“Kejadian pada jam 3 pagi itu berlaku ketika pasangan suami isteri itu baharu pulang dari sebuah kedai makan di Sungai Baru, Simpang Empat menuju ke kediaman mereka di Kampung Sungai Bugis.
“Setibanya di lokasi kejadian 15 minit kemudian, sebatang pokok tumbang menghempap motosikal dinaiki mereka,” katanya.
Kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke HTF Kangar untuk menerima rawatan.
BH ONLINE