SANDAKAN — Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun ditemui meninggal dunia dipercayai dibaham buaya dalam kejadian di sungai Kampung Lembaga Batu 8, Jalan Datuk Tay, di sini, tengah hari tadi.
Mangsa Mohd Radhi Randi ditemui oleh penduduk kampung pada jarak kira-kira 500 meter dari lokasi dia dilaporkan dibaham buaya ketika mandi di sungai berkenaan.
Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Penguasa Bomba, Riki Mohan Singh Ramday berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 12.16 tengah hari.
Katanya, sepasukan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Alan Ayuh digerakkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa berjaya ditemui oleh penduduk kampung 500 meter dari lokasi dia dibaham buaya jam 3.05 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Operasi SAR turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
BH ONLINE