Kanak-kanak 10 tahun ditemui lemas dipercayai jatuh parit

JOHOR BAHRU — Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ditemui lemas, dipercayai terjatuh dalam parit di Flat Desa Mutiara, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, kanak-kanak lelaki berkenaan dilaporkan terjatuh ke dalam parit ketika memancing di lokasi kejadian.

“Terdahulu, mangsa dikatakan pergi memancing bersama abangnya serta tiga lagi rakan.

“Mangsa dipercayai tergelincir ketika cuba menarik mata pancing yang tersangkut di dasar parit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Raub berkata, mayat kanak-kanak itu kemudian ditemui kira-kira jam 3.40 petang di dasar parit pada jarak kira-kira 10 meter dari lokasi dia terjatuh.

Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Pegawai Bomba Tinggi II Mohd Rashid Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.30 petang.

Beliau berkata, seramai tujuh anggota diarahkan ke lokasi kejadian dan mangsa ditemui sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada jam 5.25 petang,” katanya.

BH ONLINE