LANGKAWI — Juruteknik Eagle’s Nest SkyWalk (ENS) maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 meter di lereng Gunung Machinchang di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.15 tengah hari, mangsa, Khairul Nizam Jaafar, 41, yang menetap di Kampung Lawer di sini, dilaporkan terjatuh ketika berada di besi penahan dek kaca di pusat pelancongan itu.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, berkata mangsa baru tiga bulan bekerja dengan syarikat itu.
“Terdahulu, polis menerima maklumat daripada penyelia operasi dek kaca syarikat itu mengatakan seorang kakitangan lelaki dipercayai terjatuh di lereng gunung dan tidak sedarkan diri jam 12.25 tengah hari.
“Susulan itu, polis bersama pihak bomba dan dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bergegas ke lokasi dan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya dalam kenyataan di sini, petang ini.
Shariman berkata, ketika operasi SAR dijalankan cuaca di sekitar lereng gunung sedikit hujan.
“Mangsa kemudian berjaya ditemui oleh pasukan SAR dan dibawa naik ke stesen tengah oleh pihak bomba pada jam 5.11 petang dan pengesahan kematian oleh kakitangan Hospital Sultanah Maliha (HSM).
“Mayat mangsa dibawa turun menggunakan kereta kabel sebelum dihantar ke Unit Forensik HSM untuk proses bedah siasat,” katanya.
Beliau berkata, waris dan keluarga mangsa telah dimaklumkan dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).
Petang tadi, media melaporkan seorang kakitangan ENS dikhuatiri terjatuh di lereng Gunung Machinchang di sini, hari ini, pada ketinggian dianggar antara 40 hingga 50 meter.
BH ONLINE